Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) merupakan satu elemen yang sangat penting dalam menyediakan ruang dan peluang untuk atlet-atlet di peringkat akar umbi, khususnya murid-murid sekolah melibatkan diri dalam sukan ini. Menerusi kejohanan seumpama ini, murid-murid dapat menimba pengalaman untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka dalam suasana pertandingan yang sihat dan menyeronokkan. Justeru itu tidak hairanlah jika kejohanan seumpama ini telah berjaya melahirkan ramai atlet yang berkemahiran untuk dipilih mewakili negara dalam kejohanan yang lebih tinggi prestasinya di peringkat antarabangsa.
MATLAMAT
1.Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun.
2.Memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan berdaya saing tinggi.
3.Menjadi medium penggerak ke arah gaya hidup murid yang aktif dan sihat.
RASIONAL
1.Melalui kejohanan ini, semangat setiakawan, integrasi, patriotisme dan jati diri dapat dipupuk selain menonjolkan bakat-bakat pelajar untuk diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.
2.Kejohanan ini diyakini dapat membantu mengurangkan permasalahan sosial di kalangan pelajar.
3.Menerusi kejohanan ini, semangat kerjasama dan pemuafakatan dapat dijalin di kalangan semua pihak yang terlibat.
4.Mencapai matlamat serampang dua mata dengan pelaksanaan Dasar 1Murid1Sukan dan membina perpaduan rakyat menerusi bidang sukan.
OBJEKTIF
1. Meningkatkan kecergasan jasmani;
2. Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni;
3. Memupuk perpaduan di antara kaum;
4. Membentuk budaya sukan di kalangan murid;
5. Memenuhi naluri semulajadi murid agar aktif dari segi fizikal;
6. Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal; dan
7. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.