Sekapur Sirih

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

SEKAPUR SIRIH
PENGARAH PENDIDIKAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)
Peringkat Kebangsaan Tahun 2026

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Pendidikan bermutu, insan terdidik, negara sejahtera,

Selamat datang diucapkan kepada semua kontinjen negeri, pegawai teknikal dan urus setia Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Peringkat Kebangsaan 2026 ke Wilayah Persekutuan Labuan. Kehadiran seramai 656 orang yang terdiri daripada para atlet, pegawai dan pengurus pasukan bukan sahaja menyerikan kejohanan ini, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga pendidikan dari seluruh negara.

Kejohanan Merentas Desa MSSM ini merupakan satu platform penting dalam menyediakan ruang dan peluang kepada murid-murid sekolah untuk mengembangkan bakat serta potensi mereka dalam bidang sukan. Penyertaan aktif dalam kejohanan seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah turut membentuk sahsiah, disiplin serta semangat daya saing yang sihat dalam kalangan murid.

Penganjuran kejohanan ini juga selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 – 2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan secara holistik dan seimbang. Melalui penglibatan aktif dalam kegiatan sukan, murid dapat membina jati diri yang kukuh, mengamalkan gaya hidup sihat serta memperkembangkan potensi diri secara menyeluruh sejajar dengan usaha melahirkan generasi yang berdaya tahan, berdaya saing dan berkeupayaan menghadapi cabaran masa hadapan.

Akhir kata, saya mendoakan agar Kejohanan Merentas Desa MSSM Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 ini berjalan dengan lancar serta mencapai objektif yang dihasratkan.

Sekian, terima kasih.

(YAHYA BIN AHMAD PUTEH)
Pengarah Pendidikan
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera

YAHYA BIN AHMAD PUTEH 

Pengarah JPWPL

`