SEKAPUR SIRIH
PENGARAH BAHAGIAN SUKAN, KOKURIKULUM DAN KESENIAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI,
Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian terus komited dalam memperkasa penyertaan murid secara menyeluruh dalam aktiviti kokurikulum di sekolah. Bidang sukan khususnya menjadi wahana strategik dalam mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah melahirkan murid yang seimbang dan holistik merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, usaha ini turut mendukung pembentukan Insan Sejahtera yang berteraskan nilai beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan. Aspirasi ini dizahirkan melalui Hala Tuju Sukan, Kokurikulum dan Kesenian yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat dan potensi murid secara berterusan melalui platform utama seperti penganjuran Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Sehubungan itu, kami terus beriltizam memastikan penglibatan murid secara menyeluruh dalam program berbentuk penggalakan, pembangunan dan kecemerlangan sukan sebagai usaha berterusan untuk mencungkil serta menggilap bakat-bakat baharu negara. Besar harapan agar atlet murid yang lahir daripada sistem MSSM bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan, malah memiliki sahsiah unggul, jati diri yang tinggi serta mampu mencapai keseimbangan antara kecemerlangan sukan dan akademik.
“MSSM Pemacu Kecemerlangan Sukan”
ITHNIN BIN MAHADI